Tuesday, October 20, 2009

Beras yang kehabisan..

Ari nie aku terjumpa satu artikel luahan perasaan yang sangat bagus untuk tatapan semua....

Berasku Telah Kehabisan.

Beras ku telah kehabisan. Aku ke pasaraya dan kulihat ada 16 jenis beras yang boleh kupilih. Aku hanya mahu beras yang mampu mengenyangkan perut tapi aku diberi pilihan untuk memuaskan nafsu ingin berbelanja. Lalu aku ambil beras yang paling dekat denganku. Beratur di kaunter bayaran(aku terfikir betapa siapalah yang kata kita tidak tahu beratur...kalau naik LRT macam ni tentu elok), aku lihat aku boleh pakai kad kredit, kad debit, kad bank atau tunai, dan aku ditanya ada kad diskaun atau kad pelanggan. Jika aku baru tersedar dari zaman darurat dahulu, mungkin aku hanya tahu kad pengenalan. Aku bayar dengan duit disakuku.


Aku tidak mahu digasak dengan pelbagai pilihan bila aku mahukan sesuatu. Jika ubat gigi ku habis, aku tidak mahu tujuh jenama dengan enam perisa yang dibungkus dalam lima ukuran, yang mana jika aku mampu menjengkuk ke empat pasaraya, mungkin aku akan jumpa tiga harga berlainan bagi barangan yang sama, malah tidak mustahil akan ada dua jenis tawaran istimewa, namun apa yang aku mahu hanya SATU. Ubat gigi ku dah habis.


Harga yang kita perlu bayar untuk mendiami dunia moden makin meningkat. Pilihan yang kita ada nampak makin pelbagai. Kita ditujah dengan segala macam benda yang memerlukan kita berbelanja. Jangan kedekut. Jika tiada wang, boleh hutang. Beli dulu, bayar kemudian. Bank tak bagi pinjam, along ada. Gaji tak cukup, duit kopi boleh cari. Moral bukan harta, nilai bukan wang.


Inilah yang dinamakan kemajuan, kemodenan. Aku memanggilnya kekalutan yang karut. Satu kemestian dalam masyarakat pengguna. Ijazah kini kian murah. Barang pula makin mahal. Belajar, periksa dan dapat sampah. Guna dan buang.


Kita diminta mencelup kemodenan dengan rumah batu yang berbahang. Perlukan kipas untuk angin, aircon untuk dingin. Guna elektrik untuk selesa. Tengok tv kini ada enam rangkaian percuma, ada astro lagi bergaya. Tidur atas tilam empuk, guna toto yang lembut. Nak menulispun kena ikut gaya haiku. Kita makin hilang budaya jati. Ini penangan globalisasi.


Aku terbaca di akhbar arus perdana tentang itu ini. Aku buka intenet nak tahu apa jadi. Kita perlu jadi makin versatil. Guna perkataan pinjam, pakai bahasa rojak. Bahasa pun boleh jadi perebutan hak. Jangan sebut soal bangsa, lagi parah. Seni peristilahan dah luput. Siapa yang merungkap ginjal? Apa yang bermain dibenak bila istilah itu diucap? Sumber mana yang dia pinjam? Aku pun nak mencipta istilah tapi seni itu dah pupus. Lebih baik cekup yang ada dari sumber pelbagai. Masyarakat pengguna perlukan pilihan yang bermacam agar dapat mengambil yang mana suka. Pakai dan lempar.


Baik kembali ke zaman batu gamaknya. Nak makan tangkap, kutip, tanam atau kena baham, lepas tu kena tanam. Itupun kalau berbaki, ada sisa lagi. Boleh juga tumpah bakti pada zaman moden, jadi bahanapi stesen janaelektrik untuk kita dapat pasang aircon tengok tv berselubung toto atas kasur empuk. Tapi balik-balik tengok cerita P.Ramlee. Nama samaran pun nak ceduk dari dia.


Kembali ke zaman kegemilangan. Ambil amalan padang pasir, lupa tentang buku panduan, lagi senang ikut-ikutan. Ambil budaya iklim sederhana, tak ingat diri, lupa asal usul. Bukan senang mahu tahu. Tidak mudah hendak ilmu.


Aku cuma lapar nak makan nasi. Nak tapau tak mahu, nak masak gas dah habis. Ada subsidi pun masih tak mampu. Nak masak pakai dapur kayu mana reti, nenek moyang kita boleh, kita pun boleh juga kan. Tapi teknologi tu pun dah hilang. Makin ramai yang tidak tahu menggunakan apa yang ada di sekitar, dengan apa yang dapat di sekeliling. Lagi pun apa kelas pakai dapur kayu. Habuk, asap, gelaga. Payahlah katakan.


Kini kita diminta membeli satu barang, dengan pek ekonomi yang sebenarnya tak masuk akal kerana perlu ruang dua kali lebih besar untuk menyimpan, dengan kuantiti tiga kali ganda dari apa yang kita perlu, sehingga tahan empat kali lama, malah silap-silap diiklankan sampai lima tahap, dan mungkin barang tu enam kali ganda berlebihan di pasaran, serta tidak mustalil tujuh kali dicukai berganda. Bayar pakai wang sistem perbankan yang nilainya bukan milik kita sebenarnya. Semuanya mahu yang besar, mega, dan super. Sumbernya mana? Pasaran modal, pasaran saham. Semua dah menjunam.


Aku tahu aku tidak boleh melangkah ke belakang. Aku pasti aku tidak mahu undur ke depan. Pilihan ku bukan bermacam. Aku hanya ada SATU kehidupan, yang akan lalu dalam pelbagai penjelmaan, yang itupun dimodenkan dengan kehendak nafsu mahu.Berasku telah kehabisan, dan aku telah membeli nasi.


[ Last edited by ZamZamAlaKazam at 19-11-2008 05:07 PM ]

No comments:

Post a Comment